. Pemimpin Umno BN keterlaluan ~ BERJALAN MENUJU ALLAH

HIBURAN

Wednesday, March 23, 2011

Pemimpin Umno BN keterlaluan

KUALA LUMPUR, 23 Mac: Tindakan para pemimpin Umno BN kini ternyata semakin keterlaluan, apabila mereka sanggup melakukan apa sahaja termasuk menipu dan mengabaikan kepentingan rakyat di tanah air sendiri, demi mengekalkan kuasa.

Terbaru, untuk menarik perhatian rakyat supaya menyokong mereka, mereka juga sanggup membuat dan menayangkan video lucah kepada golongan tertentu yang mengaitkannya pula dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Baling, Ustaz Taib Azamuddin Md Taib berkata, tidak sedarkah mereka dengan bahaya fitnah yang dibuat oleh mereka itu. Pada hal dalam Islam fitnah itu ditegah oleh Allah dan bahayanya amat besar.

Menurut beliau, antara bahaya fitnah, ia akan menyebabkan seseorang itu terkena dosa qazaf, merosakkan diri sendiri, masyarakat dan negara.

"Orang yang membuat dan menyebarkan fitnah juga perlu sedar, jika hari ini dia membuat fitnah kepada seseorang, suatu hari nanti fitnah yang dibuatnya itu akan turut menimpa dirinya sendiri pula," tegasnya ketika ditemui di lobi Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Selain menyebarkan fitnah dengan video itu, menurut beliau, para pemimpin Umno BN kini turut berusaha membawa masuk pekerja-pekerja asing ke negara ini dengan bilangan yang besar untuk menjadi pengundi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti.

Sehingga kini, beliau difahamkan seramai 90,000 pekerja asing telah diluluskan untuk dibawa masuk ke negara ini yang akan berperanan sebagai pengundi bagi pihak BN dalam PRU ke-13 yang akan diadakan tidak lama lagi.

Katanya, selain PRU, mereka juga akan turut dipergunakan oleh Umno BN dalam siri pilihan raya kecil dari semasa ke semasa untuk menghadapi Pakatan Rakyat bagi membolehkan mereka menempa kejayaan.

Ketika mendedahkan perkara itu, beliau berkata, daripada angka itu, 45,000 orang didatangkan dari India manakala selebihnya dari negara-negara lain termasuk Myanmar.

"Pekerja dari Myanmar kini kebanyakannya tinggal di Langkawi dan bekerja sebagai nelayan, sehingga menyebabkan nelayan-nelayan tempatan di Langkawi mengalami kerumitan untuk menangkap ikan akibat persaingan daripada mereka," ujarnya yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Keadaan itu terjadi kerana mereka yang didatangkan dari Myanmar itu sendiri yang lebih berkuasa dalam aktiviti menangkap ikan berbanding nelayan tempatan kerana dibantu dan disokong sepenuhnya oleh para pemimpin Umno.

"Mengenai kemasukan pekerja-pekerja dari India, peliknya, mereka sanggup membawa masuk pekerja dari India sedangkan orang-orang India yang dah ada di negara kita sendiri banyak yang tak ada kerja.

"Selain itu, mereka sanggup membantu pekerja-pekerja India dari India dalam segala segi, sedangkan orang-orang India yang ada di negara kita sendiri banyak yang tak ada rumah," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar berfikir lebih jauh dengan permainan politik kotor para pemimpin Umno BN dan tidak lagi memberikan kepercayaan kepada mereka untuk memerintah negara dalam PRU Ke-13 akan datang.

0 comments:

Post a Comment