. Bincang antara tokoh agama isu Injil bahasa Melayu ~ BERJALAN MENUJU ALLAH

HIBURAN

Wednesday, March 16, 2011

Bincang antara tokoh agama isu Injil bahasa Melayu

KUALA LUMPUR, 16 Mac: Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) memohon isu Kitab Injil berbahasa Melayu dapat dibawa kepada perbincangan dan konsolidasi antara tokoh-tokoh agama yang berwibawa bagi menyeimbangi mati rasa sudut pandang pengamal undang-undang.

Setiausaha agungnya, Abu Qassim Nor Azmi berkata, ini agar dapat memberikan saranan terbaik kepada kerajaan dalam membuat keputusan yang lebih berobjektif dan berhikmah demi kesejahteraan semua.

Beliau merujuk kepada kenyataan Datuk Seri Idris Jala, Menteri di Jabatan Perdana Menteri berhubung pendirian kerajaan dalam membenarkan pengeluaran sejumlah 35 ribu Al-Kitab Injil berbahasa Melayu yang ditahan di Perlabuhan Klang dan Kuching oleh pihak berkuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Kerajaan berpendapat bahawa ia adalah selaras dengan warta 1982 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah membenarkan pengeluaran serta penyebaran Kitab Injil dalam Bahasa Melayu secara terhad dan terkawal selain mesti dicop dengan tag “Untuk penganut agama Kristian sahaja”.

Katanya, PKPIM berpendapat, meskipun diperuntukkan pengedarannya hanya untuk penganut agama Kristian sahaja, namun apakah jaminannya al-kitab tersebut tidak akan diedarkan kepada penganut agama lain.

“Sehingga ke hari ini, PKPIM masih belum begitu yakin dengan kemampuan agensi kerajaan yang terlibat benar-benar kompiten dalam memastikan perkara tersebut tidak berlaku,” ujarnya kepada Harakahdaily.

PKPIM, ujarnya turut mempersoal ketetapan Peguam Negara (AG) bahawa pengeluaran Kitab Injil yang telah diterjemahkan dalam Bahasa Malaysia tersebut tidak akan memberi kesan dalam kes mahkamah yang berkaitan isu Kalimah Allah.

Justeru, tambahnya PKPIM menyeru agar pihak kerajaan menarik semula pengumuman tersebut kerana bimbang ia akan menimbulkan rasa kurang senang di kalangan umat Islam yang masih membara dengan konflik Kalimah Allah yang telah mengakibatkan suasanan tegang dalam masyarakat.

“PKPIM berharap keputusan ini dapat ditangguhkan sehingga proses perundangan berhubung isu Kalimah Allah selesai. Peguam Negara (AG) juga digesa agar mempertimbang semula ketetapan yang telah dibuat berhubung isu berkenaan,” ujarnya.

0 comments:

Post a Comment